Monday, August 24, 2009

Pilihanraya semakin hampir, serangan Taliban sampai ke Kabul

OGOS 10 — Lebih kurang dua minggu lagi Pilihanraya Presiden kedua selepas jatuhnya regim Taliban akan berlangsung di Afghanistan. Pilihanraya Presiden dan Provinsi ini dijadualkan pada 20 Ogos 2009.

Dalam pilihanraya kali ini, Hamid Karzai ditentang dengan sengit oleh Dr Abdullah Abdullah dan Dr Asyraf Ghani Ahmadzai walaupun secara keseluruhannya, 37 orang telah disahkan untuk bertanding bagi merebut kerusi presiden pada kali ini termasuk dua orang wanita.

Sementara itu, 3,300 calon akan bertanding bagi merebut jawatan Kerajaan Tempatan di 34 buah provinsi.

Kedua-dua pesaing hebat Karzai ini pernah menggangotainya kabinetnya sebagai Menteri Luar Negeri dan Menteri Kewangan dalam kerajaannya lalu.

Karzai mempunyai sedikit kelebihan oleh kerana mempunyai sokongan yang kuat dari pemimpin Jihad dan ahli parlimen. Pemimpinan tertinggi Jihad adalah seperti berikut: Sabghatullah Mujjadidi, Abdul Rub Rassol Sayyaf, Pir Sayyed Ahmad Gillani, Ustad Muhaqiq, Ustad Mohisini, Qazi Amin Waqad dan Abdul Hadi Arghandiwal yang berdiri di belakang Karzai.

Karzai turut memperkukuhkan kedudukannya dengan memilih Timbalan Presiden Karim Khalili dan bekas Menteri Pertahanan Qasim Fahim sebagai timbalannya. Mustafa Zahir, cucu kepada bekas Monarki Mohammad Zahir Shah; Abdul Rashid Dostum, pemimpin Uzbek yang termasyur; dan bekas fraksi Komunis termasuk Syed Mohammad Gulabzai turut bersama-sama Karzai.

Walaupun mendapat sokongan yang kuat daripada pemimpin jihad dan ahli parlimen, cabaran terbesar Karzai ialah untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat. Selepas dipilih menjadi presiden pada tahun 2004, kehidupan rakyat masih lagi tidak berubah. Pengangguran, kemiskinan dan tahap kehidupan yang teruk telah menyebabkan populariti Dr Abdullah Abdullah dan Dr Asyraf Ghani meningkat mendadak.

Majoriti rakyat Afghanistan terdiri daripada bangsa Pashtun. Oleh kerana itu, undi daripada masyarakat Pashtun amat penting bagi menentukan kemenangan seseorang calon itu.

Kedua-dua penyokong Dr Abdullah Abdullah dan Dr Asyraf Ghani yakin bahawa mereka mampu menewaskan Karzai berikutan dengan kekecewaan rakyat terhadap taraf kehidupan dan kemiskinan.

Cabaran terbesar dalam pilihanraya presiden yang bakal berlangsung ialah “sabotaj” daripada pergerakkan Taliban.

Semakin hampir tarikh pilihanraya,Taliban mempertingkatkan serangan yang dengan tujuan untuk menggagalkannya.

Objektif Taliban jelas. Jika mereka berjaya menyebabkan peratusan keluar mengundi serendah 30 peratus, presiden yang bakal dipilih tidak mempunyai kredibiliti untuk memimpin Afghanistan dan ini akan memudahkan lagi Taliban untuk kembali berkuasa.

Provinsi-provinsi yang terletak di selatan Afghanistan yang bersempadan dengan Pakistan seperti Kandahar, Hilmand, Paktia, Nemroz, Zabul, Paktia dan Paktika telah lama ditawan oleh Taliban.

Malahan ramai pihak tidak yakin Independent Election Commission (IEC) mampu untuk mendirikan pusat pembuangan undi di kawasan-kawasan tersebut. Asian Network for Free Election (ANFREL) sendiri tidak menghantar pemantau di provinsi-provinsi tersebut berikutan dengan situasi keselamatan yang parah.

Kini serangan Taliban telah diperluaskan ke seluruh negara termasuk bandar Kabul.

Terbaru, pada 4 Ogos lalu, Taliban melancarkan lapan serangan roket dari beberapa penjuru ke dalam bandar Kabul menyebabkan lapan orang tercedera termasuk wanita dan kanak-kanak di Makiron dan Masoud Avenue yang lokasinya berhampiran dengan Kedutaan Amerika Syarikat.

Serangan tersebut telah menggemparkan masyarakat antarabangsa

Selain itu, penempatan penduduk dan kenderaan turut musnah dalam serangan tersebut. Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Zabiluaah Mujahid dilaporkan oleh media tempatan berkata, serangan tersebut bertujuan untuk mengingatkan kerajaan dan rakyat Afghanistan bahawa Taliban tidak menyokong pilihanraya tersebut.

Jurucakap Taliban tersebut turut menyatakan bahawa serangan tersebut membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Karzai yang disokong oleh kuasa asing tidak mampu untuk mengawal keadaan keselamatan negara termasuklah bandar Kabul yang telah mempunyai kawalan keselamatan yang ketat daripada tentera Afghanistan dan tentera asing.

Secara keseluruhannya, keadaan keselamatan masih belum mencapai tahap yang memuaskan menjelang pilihanraya yang bakal berlangsung akibat daripada tindakan agressif daripada Taliban. Ketua Polisi Antarabangsa Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana mengakui bahawa pilihanraya akan datang akan berlangsung dalam keadaan yang sulit.

Ancaman-ancaman dari Taliban telah berjaya masuk ke kawasan-kawasan yang sebelum ini dianggap aman seperti di Utara dan Barat Afghanistan. Contohnya, keganasan baru-baru ini telah merebak ke Kunduz, Mazar-e-Sharif dan Herat. Govenor Herat baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa 20 tempat pembuangan undi dikawasan tersebut telah ditawan oleh Taliban.

Walaupun keganasan Taliban dan situasi keselamatan tidak menentu, kempen pilihanraya yang bermula semenjak 16 Jun yang lalu semakin terasa kehangatannya.

Badan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan yang penting dalam menjayakan pilihanraya yang bakal berlangsung. Afghan Woman Network (AWN) pada 4 Ogos lalu melancarkan kempen untuk meyakinkan kaum wanita untuk mengundi dalam pilihanraya 20 Ogos akan datang di bandar Kabul.

Menurut seorang aktivis wanita, Wazhma Faroogh ketika bercakap di majlis tersebut, kempen yang dilancarkan itu bukanlah bertujuan untuk menyokong mana-mana calon. Kempen tersebut dilancarkan untuk memastikan pengelibatan yang besar kaum wanita dalam pilihanraya akan datang.

“Setiap wanita harus mengundi calon yang mereka percaya boleh melakukan sesuatu untuk mereka,” katanya. Dia turut menambah bahawa kempen tersebut akan berterusan sehinggalah hari mengundi bagi memastikan kaum wanita akan mengundi dalam pilihanraya 20 Ogos nanti.

Wazhma percaya, jika peratusan keluar mengundi dikalangan wanita rendah, pilihanraya tersebut tidak akan menjadi sempurna.

Cabaran semakin tinggi menjelang pilihanraya yang akan berlangsung. Apa-apa pun rakyatlah yang akan menentukan. Sekuat mana serangan Taliban, jika rakyat mahu keluar mengundi, pilihanraya 20 Ogos akan berjaya.

Rata-rata rakyat yang ditemui hanya mahukan keamanan dan kestabilan. Mereka sudah “penat” dengan peperangan demi peperangan. Walaupun majoriti rakyat Afghanistan tidak sukakan campurtangan asing dinegara tersebut, mereka hanya membiarkannya hanya kerana mahu hidup dalam keadaan yang aman dan damai.

sumber : http://www.themalaysianinsider.com/index.php/opinion/amin-iskandar/34722-pilihanraya-semakin-hampir-serangan-taliban-sampai-ke-kabul-

No comments:

Post a Comment